Politik & Masjid
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pelbagai berita mengenai isu aktiviti politik dijalankan di masjid/surau sehingga menimbulkan perbalahan bahkan ada yang sudah sampai ke peringkat berlaku adegan tumbuk menumbuk dan sepak terajang.
Ironinya, seperti kita sedia maklum pada zaman Nabi s.a.w. semua aktiviti dijalankan di masjid/surau. Pada waktu itu, masjid/surau merupakan tempat tumpuan umat Islam menjalankan pelbagai aktiviti baik dari segi ibadah mahupun aktiviti sosial kehidupan. Namun hakikat yang terpaksa kita telan pada hari ini, di Malaysia masjid sudah tidak lagi menjadi tempat tumpuan bagi umat Islam. Masjid kini sudah banyak dijadikan muzium dan disalah gunakan oleh sesetengan pihak mahupun individu yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai contoh, kejadian seorang nazir masjid ditumbuk oleh anak kariah di Bangi, pengerusi surau dibelasah oleh bekas imam bersama anaknya di Selayang Indah dan kemelut yang berlaku di Batu Arang. Apabila diselidiki, pucuk pangkal sebab kejadian ini adalah disebabkan fahaman politik. Perkara ini mungkin tidak didedahkan secara telus oleh media-media massa. Namun ianya cukup untuk membuatkan kita bimbang. Maka dengan sebab itu, apa tindakan ahli-ahli agama, para pemimpin dan para pendakwah untuk mengatasi mahupun melontarkan pandangan mengenai perkara ini ?
Sekadar pandangan peribadi, pada masa kini sebelah pihak berpendapat politik boleh dijalankan di masjid/surau kerana setiap perkara mesti disatukan dengan agama sebagaimana yang diamalkan pada zaman Nabi s.a.w. Sebelah pihak pula berpendapat politik tidak boleh dijalankan di masjid/surau kerana politik pada masa kini ganas sehingga boleh memecah belahkan umat Islam dan boleh menyebabkan berlakunya pertumpahan darah. oleh yang demikian, pada pandangan saya kedua-dua pihak tersebut tidak salah. Ini hanya pandangan bersifat peribadi.
Pendakwah, ahli agama dan para pemimpin Islam mempunyai tanggungjawab dan peranan yang besar dalam menangani isu ini thabit dengan firman Allah di dalam surah Al-Imran ayat 104 yang bermaksud :
" Dan hendaklah ada di kalangan kamu terdapat satu kaum yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh berbuat baik dan meninggalkan perkara kejahatan. Dan mereka itulah yang beroleh kejayaan".
Berikut adalah pandangan yang saya fikirkan dapat membantu menyelesaikan permsalahan ini :
- Memupuk semangat saudara sesama Islam.
- Pihak yang berkenaan perlu ketatkan larangan berpolitik di masjid/surau untuk mengelakkan sebarang masalah timbul.
- Wujudkan seminar-seminar untuk mengeratkan lagi hubungan sesama insan.
- Adakan gotong-royong di kampung dan masjid/surau.
- Tindakan atau penalti yang berat dikenakan kepada pesalah.
- Wujudkan undang-undang yang adil dan saksama.
- Layanan yang saksama diberikan kepada orang ramai oleh pemimpin parti tanpa mengira fahaman politik.
- Perbanyakkan kuliah agama dan forum di masjid/surau bagi menggalakkan umat Islam datang ke masjid/surau dan terangkan mengenai perpaduan umat Islam tanpa mengira fahaman politik.
- Wujudkan pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat orang muda datang ke masjid/surau dan berikan mereka didikan agama yang sewajarnya agar tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir jahat.
- Terangkan pada jemaah agar tinggalkan fahaman politik di "pintu pagar masjid/surau" sebelum memasuki masjid/surau.
Saya percaya seandainya 10 perkara di atas atau sebahagian dapat dilaksanakan dengan jayanya, permasalahan ini dapat diatasi dan dikurangkan. Jika tidak semua, sedikit pun jadilah. Akhir kata, mencegah itu lebih baik dari mengubati. Wassalam.


0 comments:
Post a Comment