Monday, July 16, 2012


Hukum Allah Wajib Dilaksanakan

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Maidah ayat 49 yang bermaksud :
"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka (menjalankan pemerintahan) menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu"

Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawasanya tiada hukum atau perundangan yang lebih sempurna, lebih adil dan lebih teratur melainkan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Al-Quran. Hanya hukum hakam yang ditetapkan Allah di dalam Al-Quran yang layak dan sewajarnya menjadi petunjuk dan panduan peraturan manusia di dalam kehidupan mereka.

Rasulullah telah melontarkan peringatan khususnya para pemimpin supaya berpatah balik dari landasan sebenar. Keangkuhan yang ditunjukkan mereka dalam menerima hukum Allah pasti akan menerima akibat yang sangat dahsyat. 

Akhirnya apa yang dibimbangkan dan ditakuti telah terjadi dan semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini di mana hukum Allah sudah tidak lagi menjadi pegangan manusia malahan telah menjadi bahan mainan dan bahan gelak tawa di merata tempat. Bagaimana seorang yang lahirnya Islam, yang ibu bapanya Islam begitu berani menidakkan hukum Allah dan memperkotak-katikkannya ?

Sebenarnya banyak kes-kes yang terjadi di mana manusia menolak hukum-hukum Allah. Contohnya ada suara-suara sinis yang mengatakan "kalau potong tangan, macam mana dia nak bekerja nanti". Disebabkan pemikiran manusia yang berpaksikan hukum yang diciptakan manusia beginilah menyebabkan masalah sosial yang berlaku di dalam masyarakat tidak dapat di atasi. Contoh kes curi hukum setakat penjara dan denda wang ringgit dan sebagainya. Sebaliknya andainya hukum Allah dijalankan iaitu potong tangan jika sabit kesalahan dan hukuman itu ditunjukkan dikhalayak ramai, pasti masalah dapat di atasi dan berkurangan kerana masyarakat takut akan dipotong tangan.

Yang menjadi punca permasalahan di sini adalah pemikiran manusia hari ini semakin lama semakin jauh meninggalkan fahaman-fahaman Islam. Sebaliknya lebih dipengaruhi dengan pemikiran Barat. Banyak peminpin negara Islam dilantik dari kalangan orang yang cetek ilmu agamanya. Apabila ini terjadi maka berlakulah seperti yang telah disebutkan di atas tadi iaitu suara-suara sinis mempersendakan hukum-hukum Allah. Pemimpin Islam sekarang lebih mengagungkan hukum-hukum ciptaan manusia yang lebih relevan katanya dan mengatakan hukum Allah sudah lapuk ditelan zaman. Hakikatnya pemimpin-pemimpin ini sebenarnya hanya sekadar Islam pada nama tetapi pemikiran telah jauh menyimpang dari landasan Islam.

Harapan kita agar pemimpin-pemimpin dan ulama' dapat bersatu di dalam menjalankan amanah dan hukum Allah. Jangan Allah sudah murka dan menurunkan bala baru nak menyesal atau mahu tunggu matahari terbit dari Barat baru nak mengakui kekuasaan Allah. Takutlah pada balasan Allah yang sangat dahsyat. Akhir kata Sayangi Islam Yakini Allah. Wassalam

Wednesday, July 4, 2012


Islam Hanya Pada Nama

"Daripada Ali Bin Abi Talib beliau berkata : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. : Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. masjid-masjid mereka tersergam indah tetapi kosong daripada mendapat hidayah. Ulama-ulama mereka adalah sejahat-jahatnya makluk yang ada di bawah naungan langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu akan kembali"

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa Nabi s.a.w. memberitahu kepada kita perihal sikap manusia akhir zaman terhadap agama Islam. Islam menjadi perhiasan luaran sahaja tetapi tidak diperaktikkan di dalam unsur-unsur kehidupan. Sebagai contoh dapat di lihat pada hari ini berapa ramai golongan remaja yang berlumba-lumba mahu menjadi model, berapa ramai hari ini yang berlumba-lumba mahu menjadi artis, berapa ramai hari ini golongan remaja Islam yang melakukan maksiat secara terang-terangan, membuang bayi, mendedah aurat dan sebagainya.

Dari segi media massa pula, secara jelas, terang lagi bersuluh maksiat sengaja ditonjol dan diwar-warkan kepada masyarakat seolah-olah kesedaran tentang dosa pahala sudah tidak wujud di dalam pemikiran masyarakat Islam. Seperti cerita-cerita yang agak sosial, mendedahkan aurat dan sebagainya. Ini menyedihkan kerana rata-rata pelakon-pelakon tersebut adalah di kalangan MELAYU ISLAM. Nak mencegah kes rogol tapi tayang cerita berkisar tentang seks. Bolehkah perkara ini di selesaikan. Salah satu laman sosial yang popular masa kini iaitu facebook merupakan satu tempat untuk memudahkan manusia berhubung antara satu sama lain. Walaupun terdapat kebaikan namun banyak golongan yang dari kalangan umat Islam menyalahgunakan laman sosial ini seperti meletakkan gambar yang tidak sepatutnya dan sebagainya. Justeru berbalik kepada hadis di atas, umat akhir zaman ini sememangnya hanya Islam pada nama sahaja tetapi perbuatan dan tingkah laku sudah tidak menunjukkan keislaman yang ada seperti pada nama mereka.

Disebabkan perbuatan-perbuatan manusia yang singkat akalnya, maka agama Allah yang maha suci menerima tamparan yang cukup hebat. Islam semakin lemah dan dipermain-mainkan oleh musuh-musuh Islam. Kita tertanya-tanya dimana silapnya dan siapakah yang harus dipersalahkan di dalam hal ini. Bagaimana perkara ini dapat di atasi ? Bagaimana Islam dapat dikembalikan kegemilangannya seperti zaman Khalifah saidina Umar Al-Khattab ? Tepuk dada tanya iman. Wassalam